Firdaus yang dari tadi hanya tertunduk cuba meyakinkan hatinya yang dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Aisyah. Lama sudah dia memendam rasa. Dia sedar siapalah dia dibandingkan dengan Aisyah, seorang gadis yang cantik, bijak dan beragama.
Sepanjang mengenali Aisyah, jarang-jarang sekali dia melihat Aisyah berbual dengan lelaki lain, pakaiannya juga sentiasa menutup aurat, Perilakunya lemah-lembut, senyumannya manis. Itulah yang menarik hati Firdaus. Sedangkan Firdaus hanya seorang pelajar yang rendah akhlaknya, dia sendiri mengakui hal itu.Biarpun menuntut di sekolah agama, tetapi solatnya entah ke mana dan waktu-waktunya sering disibukkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Suatu petang,Firdaus duduk berehat di halaman rumahnya sambil membaca majalah hiburan, dia memang tidak pernah ketinggalan dari segi hiburan. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara seorang perempuan memberi salam. Firdaus menghampiri pintu pagar. Hampir terkeluar biji matanya melihat Aisyah sedang berdiri sambil memegang bungkusan yang tidak tahu apa isinya.
“Ganggu ke? Maaf lah..ni mak saya suruh hantar kepada mak awak. Asyraf pulang ke kampung .” Firdaus hanya membalas dengan ucapan terima kasih. Mereka berbalas salam dan Aisyah berlalu pergi.
Asyraf... apakah kaitan Aisyah dan Asyraf? Semalaman Firdaus memikirkan perkara tersebut. Asyraf adalah rakan baiknya di kelas tambahan. Tetapi tidak pernah pula Asyraf menyebut tentang Aisyah. Dia akhirnya terlena. Dalam lenanya Aisyah bertandan lagi, cukup indah sekali baginya.
Keesokan paginya dia bangkit, bangkit dengan satu azam! Ya. Dia telah bertekad. Dia mahu meluahkan perasaannya kepada Aisyah. Dia mahu memiliki Aisyah. Tidak mahu terlambat, Aisyah tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan orang lain.Terketar-ketar tangannya menaip mesej menghulurkan salam perkenalan kepada Aisyah.
Seketika kemudian telefonnya berbunyi. Menandakan ada mesej yang diterima. Alangkah gembiranya dia apabila salam perkenalannya disambut mesra. Mereka terus berbalas mesej selama beberapa hari.
Bagi Aisyah tiada salahnya hanya berkawan. Tidak pula dia sedari maksud sebenar Firdaus. Aisyah juga mengagumi wajah tampan Firdaus, tetapi perasaan itu disembunyikan daripada sesiapa pun. Aisyah yakin dia pasti akan diejek lantaran perwatakan buruk Firdaus. Tiga hari selepas perkenalan mereka, Firdaus berjaya mengumpul kekuatan untuk meluahkan rasa hatinya kepada Aisyah.
“Saya nak tanya awak satu soalan, boleh?, “Apa dia?”, Aisyah membalas ringkas.
“Kalau saya nak couple dengan awak, awak nak tak?”, Terasa hampir gugur jantung Aisyah tatkala membaca mesej Firdaus itu.
Tidak disangka sejauh itu niat Firdaus. Dia buntu memikirkan jawapannya. Memang sepatutnya dia menjawab “tidak” dengan tanpa ragu- ragu. Bukan dia tidak tahu couple itu hukumnya haram. Tetapi hatinya terus mendesak untuk dia berkata ya.
Firdaus juga sudah berjanji untuk berubah jika Aisyah menerimanya. Dia meminta masa selama tiga hari daripada Firdaus untuk memberikan jawapan. Firdaus pula hanya bersetuju. Tetapi sebenarnya Firdaus hairan kerana sebelum ini gadis-gadis yang ”dilamarnya” pasti akan bersetuju tanpa berfikir panjang.
Tempoh tiga hari yang dipinta Aisyah sudah berakhir. Firdaus menghantar mesej meminta jawapan daripada gadis itu. Aisyah sudah bersedia dengan jawapannya. Firdaus menanti dengan penuh debaran sama ada dia dapat memiliki gadis yang dicintai dan dikaguminya. Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Terketar-ketar tangan Firdaus membuka mesej.
“Maaf, saya tak boleh. Saya tak tahu kenapa tetapi saya rasa takut.”
Firdaus hanya terkebil-kebil. Spontan jarinya menaip mesej.” Tapi kenapa?” dan mesejnya dibalas “ Sabda Rasulullah s.a.w “Barang siapa yang jatuh cinta, lalu menyembunyikannya dan memelihara kesucian dirinya serta bersabar sampai dia meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang mati syahid.”
“Kuno betul...macam orang tua dulu-dulu je. Kau ingat kau cantik dan baik sangat ke? Sombong...memilih pulak. Jadi anak dara tua nanti baru kau tahu!”, bentak Firdaus dalam mesejnya.
Aisyah merenung telefon bimbitnya, dan tanpa disedari air matanya menitis. Bukan dia menyombong, dan bukan pula dia memandang rendah pada Firdaus.
Sejujurnya ada perasaan cinta yang dipendam, namun dia lebih cintakan Allah, Allah tetap cinta utamanya. Dia nekad untuk membuat perubahan dalam diri dan mengabaikan cinta dunia buat masa ini. Banyak lagi yang perlu diutamakan. Dia sedar masih jauh perjalanannya.
Setahun berlalu, Firdaus masih hanyut dalam dunianya sendiri. Dia masih belum dapat melupakan Aisyah. Baginya Aisyah seorang yang terlalu ekstrem dalam agama sehinggakan untuk bercouple pun dia takut, sedangkan pada zaman ini bercouple adalah trend masa kini. Baginya mereka masih boleh bercouple dan dalam masa yang sama, menjaga ada dan batas pergaulan mereka.
.
Suatu hari, Fitri, abang kepada Firdaus yang seorang pelajar perubatan di University of Bristol,UK pulang bercuti. Firdaus dan Fitri memang amat rapat sejak mereka kecil lagi namun kedua mereka mempunyai sikap yang sangat berbeza. Malam itu Firdaus datang ke bilik Fitri untuk berbual-bual dan melepaskan rindu. Firdaus berbaring di katil Fitri sambil termenung memandang syiling sementara menunggu Fitri yang sedang mandi.
Dari laptop Fitri lagu "UNIC-Atas Nama Cinta” berkumandang memenuhi ruang kamar itu. Firdaus hanya menikmati iramanya tanpa menghayati maknanya.
Tika mata
Diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa menyubur harapan
Dan seketika
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan
Tersedar aku dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta
Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikan
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih sempuna
Bukan mudah
Bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba
Menghindarkan pesona maya
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murka-Nya menghukum leka
Diatas nama cinta
Pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan
Setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redhaNya
Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasih-Nya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa
Saratkan hati ini dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai
NikmatNya
SyurgaNya
CintaNya....
Tersentak Firdaus mendengar bait-bait kata lagu itu, seperti ada kaitan dengan dirinya. Bayangan Aisyah muncul di fikirannya, dia memainkan semula lagu itu dan kini dia betul-betul menghayati maksudnya. Pelbagai persoalan bertandang di kotak mindanya.
Sebaik sahaja Fitri selesai mandi, Firdaus segera bertanya kepada abangnya:
“Pit, kau kat sana tak ada girlfriend ke?”
“Hish kau ni, studytak habis lagi nak ada girlfriend apanya”.
“Kawan-kawan kau pun tak ada girlfriend?”
"Kawan-kawan aku adalah yang dah ada girlfriend.”
“Habis tu kau tak nak ada girlfriend? Muka kacak tak kan tak ada orang nak ? Ke sikit je Melayu kat sana?”
“Orang Melayu ramailah jugak. Tapi aku rasa ibu dan ayah tak bagi kot aku kahwin sekarang.”
“Pit! Alamak Pit. Aku bukan suruh kau kahwin la. Aku tanya ada tak kau couple dengan siapa-siapa.”
“Hish...Aku faham kau bukan suruh aku kahwin. Tapi tiada hubungan yang sah sebelum kahwin. Jodoh kita Allah dah tentukan.”
“Tapi kita kena lah cari,kan? Takkanlah jodoh datang macam tu je kat depan muka pintu?”
“Memang lah jodoh kena cari, tapi cari dengan cara yang diredhai Allah. Always remember my brother, matlamat tak menghalalkan cara. Tak pernah...”
“Habis tu macam mana nak jumpa jodoh kalau macam tu?”
Firman Allah SWT:
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).[Surah An Nur, ayat 26]
“Wow. Kau pergi sana jadi ustaz ke? Habis tu maksudnya aku akan dapat perempuan tak baik la? Sebab aku ni macam jahat je.”
“Mungkin ya, mungkin tidak. Allah yang merancang. Kadang-kala Allah jadikan sebaliknya untuk kita saling melengkapi.”
“Kau nak isteri macam mana Pit ?”
“Kalau boleh aku nak isteri yang cintakan aku, rindukan aku..Dan semuanya kerana Allah.”
“Aduhai... hahaha! Lawaknya. Habis tu kalau tak cantik macam mana?”
“Cantik tu subjektif la. Bagi aku cantik yang sebenarnya tu cantik dalaman. Because it will never fade away. Kalau kau sayang dia sebab cantik luaran semata-mata, kecantikan tu tak kekal, cuba kau bayangkan muka dia masa umur 80-an, kau sayang dia lagi tak agak-agaknya masa tu? Sebab tu bukan perkara main-main nak cari isteri, kena minta pandangan Allah. Insyaallah boleh berkasih-sayang sampai ke syurga. Jadi ketua bidadari aku kat syurga nanti. Rumahtangga pun diberkati.”
“Habis tu kalau couple tu jahatlah?”
“Allah larang kita bercouple. Kenapa? Nah. Baca artikel ni” Kata Pit sambil menghulurkan helaian artikel yang menjelaskan hukum couple.
“Rasulullah SAW pun pernah bersabda, kalau kita mengahwini seorang perempuan kerana agamanya, nescaya beruntunglah kita, insyaAllah”, pesan Fitri lagi.
“Oh...okey. Apa-apa pun, terima kasih ye. Okey lah Pit, aku nak tidur dah ni. Selamat malam.”
Malam itu tidur Firdaus tidak lena. Artikel itu pun sudah beberapa kali dikhatamnya. Rasanya dia sudah faham mengapa Aisyah menolak cintanya. Rasanya Aisyah seorang yang berpandangan jauh. Jauh sampai ke akhirat, bukan untuk dunia semata-mata.
Semalaman dia tidak dapat tidur. Dia melangkah ke bilik Fitri untuk berbual lagi dengan abangnya itu. Dia tidak pasti sama ada Fitri sudah tidur atau belum. Jam menunjukkan sudah pukul tiga pagi.Jika dahulu, Fitri masih mentelaah pelajaran waktu ini. Berhati-hati pintu bilik Fitri dikuak, kelihatan Fitri sedang berteleku di atas sejadah.
Perlahan-lahan Firdaus menghampiri Fitri yang sedang khusyuk berdoa dalam esak tangis. Dalam doanya dia menyebut:
“ Ya Allah ya Tuhanku... KasihMu sentiasa segar dalam setiap hembusan nafasku. Betapa lemahnya hambaMu ini. kepadaMu kelak tempatku kembali, janganlah kau biarkan cintaku terhadap dunia yang menipu daya ini melebihi cintaku padaMu.”
Jantung Firdaus mulai berdegup kencang semasa mendengar luahan hati Fitri di dalam doanya. Firdaus segera berlari menuju ke biliknya, dia menangis sepuas hati , entah dari mana datangnya air mata yang begitu kuat sekali mengalir membasahi pipinya, dia juga kurang pasti. Yang dia tahu hatinya terasa tidak tenang, dia mempunyai segala-galanya namun masih terasa kekosongan.
Terasa betapa jauhnya dia dari Tuhan. Betapa lemahnya dia. Dia mengambil wuduk dan menghamparkan sejadah, berhabuk sejadah itu diselaputi kejahilannya. Dia menunaikan solat fardhu Isyak. Hatinya berasa sedikit tenang.
Esoknya, pagi-pagi lagi dia telah berjumpa Fitri.
“Pit, aku rasa macam nak berubah la.”
“Alhamdulillah. Gembira aku dengar, tapi tiba-tiba je?”, tanya Fitri sedikit kehairanan.
“ Sebenarnya semalam aku dengar kau minta ampun pada Allah, kenapa kau menangis? Aku rasa kau ni macam baik sangat. Tak macam aku ni...”
“ Baik la sangat kan. Daus, cuba bandingkan amalan kita dengan amalan para nabi dan sahabat, macam langit dengan bumi! Aku takut Allah tak terima taubat aku selama ini. Hari-hari macam-macam dosa aku buat, ada yang sedar, ada yang tak sedar. Itu tak termasuk lagi dosa masa zaman jahiliah aku dulu.”
“Kau tak rasa malu ke kalau ada orang tahu lelaki macho macam kau ni menangis malam-malam?”
“ Malu? Kenapa? Daus,memang malu tu sebahagian daripada iman, tapi malu kenalah bertempat. Hakikatnya malu itu tak mendatangkan sesuatu pun melainkan kebaikan . Bukan satu perkara yang memalukan pun.
Nabi Muhammad SAW, pemimpin umat, ketua negara. Baginda telah dijanjikan Allah tempat di syurga namun baginda masih beristighfar tidak kurang 100 kali sehari, kita macam mana? Baginda sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki, kita pula?
“ Best ke menangis malam-malam ini.”
“ Best. Best sangat. Macam kau bercakap dengan seorang yang setia dengar tak kira apa pun masalah kau, tak kira masa. Yang tak hina kelemahan kau. Dia bagi kekuatan pula pada kau. Yang tak jemu dengar rintihan kau. Yang pujuk kau dengan janji-jani yang pasti. Yang suka dengar permintaan kau. Yang beri kau rezeki. Yang tahu apa yang terbaik untuk kau. Macam i tulah rasanya.”
“Ada ke orang yang macam tu?”
“Memang tak ada lah yang setia macam tu. Hanya Allah yang Maha mendengar. Allah dekat dengan kita.”
Allah berfirman:
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [Al-Baqarah: 186]
Indahkan ayat-ayat Allah? Jadikan Allah sebagai kekasih kita, dan Quran adalah ayat-ayat cintaNya. 200% sure akan rasa bahagia lepas ni, sampai akhirat, selama-lamanya...insyaAllah.”
Fitri menghulurkan sebuah buku bertajuk tulisan Imam al-Ghazali yang telah diterjemahkan. Dia berasa cukup bahagia dengan minat adiknya untuk berubah. Dalam hatinya dipanjatkan doa agar adiknya terus istiqamah di jalan Allah.
“Kalau nak berubah kena kuat tau, macam-macam dugaan. Dunia ni penuh tipu daya. Bukan suruh kau abaikan dunia sampai tak belajar, tapi buat apa-apa pun mesti kerana Allah. Allah suruh kita teroka ilmu sedalam mungkin. Kena istiqamah tau. Apa-apa masalah rujuk la ustaz ke… atau orang-orang alim, jangan pergi tanya orang sesat pula.”
“Tak tua sangat ke aku ni nak u-turn semula?”.
“ Tua ke? Aku lagi tua. Umur baru 16 dah kata tua. Bro, never too old to learn, never too late to turn. Aku akan selalu doakan kau. Uhibbuka fillah khair kathira.”
“ Okey, thanks Pit. Kau memang understanding lah..,uhibbuka fillah aidhon. bluek!”, usik Firdaus sebelum melangkah keluar dari bilik Fitri.
Perubahan sikap Firdaus sedikit sebanyak telah menjadi perangsang kepada mereka untuk turut berubah. Buku itu mula dibelek-belek. Setiap helaian dihayati dengan penuh minat. Hatinya terasa tenang. Sedikit demi sedikit perubahan dilakukan dalam dirinya. Hobi lamanya yang tidak berfaedah sudah lama ditinggalkan.
Dia juga mula berdakwah kepada rakan-rakan dan ahli keluarga. Pada mulanya dia mendapat cemuhan, kata mereka Firdaus berubah untuk Aisyah, tetapi Firdaus tetap dengan prinsipnya kerana dia yakin Allah dekat dengannya dan Allah Maha Mengetahui niatnya.
Kecekalan dan ketabahan Firdaus berkat rahmat ilahi mendekatkan dirinya dengan cita-citanya untuk bergelar seorang doktor yang akan mampu merawat penyakit jasmani dan rohani bangsanya. Dia kini bergelar seorang graduan dari Universiti Ain Shams.Menunggu untuk melapor diri di Hospital Tengku Ampuan Fatimah, Pekan Pahang.
Tengahari tadi juga dia selamat diijab kabulkan dengan bidadari yang dinantinya sekian lama, Aisyah Humaira’ binti Ibrahim. Berkat bantuan kembar Aisyah, Asyraf Mukmin sebagai orang tengah. Malam itu mereka solat sunat pengantin baru bersama. Selesai solat, mereka bersalaman. Kelihatan permata jernih mengalir membasahi pipi Aisyah.
Dia turut sebak menahan tangis. Namun dengan tenang dia mengawal perasaan.
“Kenapa Humaira’ menangis? Humaira’ sedih ke?”
“Bukan Abang, Humaira’ bersyukur sangat. Kasihnya Allah pada kita, disimpulkan kita dengan
ikatan suci.
“Abang pun gembira sangat Humaira’, Allah kurniakan abang bidadari yang sangat cantik, cantik segala-galanya. Lengkap separuh agama abang. alhamdulillah... ”
Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan buat Ilahi. Tempat datang dan kembalinya segala nikmat. Tempat selayaknya dikembalikan segala puji-pujian. Benarlah hidayahNya disalurkan melalui pelbagai cara,
alhamdulillah...
0 143 sahabat komen ♥ :
Post a Comment