السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Allah s.w.t berfirman (maksudnya): “…hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah terdahulu.” (Surah al-Ahzab, 33:33)
Walaupun ayat ini zahir asalnya untuk isteri-isteri nabi, tetapi sebenarnya ia turut mencakup seluruh kaum wanita beriman secara umum. Kerana wanita beriman itu mengikuti isteri-isteri Nabi dan menyelisihi perilaku kaum wanita jahiliyyah. Hal ini antaranya sebagaimana dijelaskan dalam Tafsir al-Qurthubi dan Tafsir Ibnu Katsir.
Juga firmanNya: “Maka wanita yang soleh adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara mereka.” (Surah an-Nisaa’, 4: 34)
Nabi s.a.w juga pernah bersabda: “Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan kata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (keinginan), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (H.R. Muslim, 13/125, no. 4802)
Hadith ini menunjukkan bahawa perbuatan di antara lelaki dan wanita yang saling memandang, saling berbual tanpa keperluan syar’i, bersentuhan atau bersalaman, serta apa yang disebutkan melalui hadith ini tentang zina adalah terlarang dan perlu dielakkan.
Jika kita teliti betul-betul, nescaya kita akan temui catatan-catatan yang sahih berkaitan wanita-wanita yang terdiri dari kalangan para sahabiyah di zaman Nabi. Yang mana mereka ini sifatnya amat pemalu. Mereka berusaha mengelak dari menjadi tatapan kaum lelaki dengan tetap mendiami rumah-rumah mereka. Jika mereka keluar pun, mereka akan keluar atas alasan yang syar’i dalam keadaan yang terjaga serta ditemani oleh mahram mereka.
Di antara sebab wanita dibenarkan keluar adalah seperti untuk solat berjama’ah, menuntut ilmu agama, dan beberapa yang lainnya yang diperlukan selagi mana berada dalam keadaan aman dari fitnah, mendapat izin dari wali atau suami, dan setelah hak-hak suami dan anak-anak ditunaikan dengan sempurna. Jika mereka keluar, diwajibkan pula untuk mendapat pengawasan atau ditemani oleh mahram, bebas dari ikhtilath, dan berpakaian dengan pakaian yang syar’i (menutup aurat).
Walaupun wanita dibenarkan untuk solat berjama’ah di masjid bersama dengan yang lainnya, Rasulullah s.a.w tetap menegaskan bahawa solat terbaik bagi kaum wanita adalah di rumah mereka masing-masing. Untuk ke masjid pula, Rasulullah s.a.w menyediakan pintu khas untuk para wanita bagi mengelakkan percampuran dengan kaum lelaki. Dalam solat, Islam mengasingkan pula saf wanita di belakang dan lelaki di hadapan.
Nabi s.a.w bersabda: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (H.R. Muslim, 2/435, no. 664)
Manakala ketika tamat sahaja solat (sebaik salam diucapkan), kaum wanita perlu segera beredar. Manakala kaum lelaki, mereka beranjak setelah para wanita selesai keluar terlebih dahulu.
Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Ummu Salamah r.ha (salah seorang isteri Nabi s.a.w). Beliau berkata:
“Bahawasanya pada zaman Rasulullah s.a.w, kaum wanita segera bergerak keluar (beredar) apabila mereka telah mengucapkan salam pada solat fardhu. Sementara itu, Rasulullah s.a.w dan kaum lelaki yang solat bersama-sama beliau tetap berada di tempat mereka bersesuaian dengan apa yang dikehendaki Allah. Apabila Rasulullah s.a.w bangun, maka mereka pun ikut bangun.” (H.R. Bukhari)
Bagi majlis-majlis ilmu pula, Rasulullah s.a.w mengasingkan (memisahkan) di antara lelaki dengan wanita. Abu Sa’id al-Khudri r.hu menceritakan:
Ada seorang wanita datang menemui Rasulullah lalu berkata, “Wahai Rasulullah, kaum lelaki telah pergi dengan membawa hadith-hadith daripada engkau. Maka luangkanlah satu hari untuk kami (kaum wanita) supaya kami dapat menemui engkau pada hari tersebut dan engkau mengajarkan kepada kami apa-apa yang telah diajarkan Allah kepada engkau.”
Rasulullah s.a.w pun menjawab: “Berkumpullah kamu pada hari ini dan ini, di tempat ini dan ini.” Setelah itu, para wanita pun berkumpul di tempat yang dijanjikan tersebut, maka Rasulullah s.a.w menemui mereka dan mengajar mereka perkara-perkara yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t kepadanya. (H.R. Bukhari, 22/284, no. 6766)
“Sekiranya Rasulullah s.a.w melihat apa yang dilakukan oleh para wanita pada masa sekarang ini, nescaya baginda akan melarang mereka dari pergi ke masjid sebagaimana kaum wanita Bani Israel dilarang ke masjid.” (H.R. Bukhari, 3/378)
Dalam sebuah hadith yang lain, daripada Hamzah B. Abu Usaid al-Anshari rah daripada bapanya, bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w berbicara ketika berada di luar masjid sehinggalah berlaku percampuran lelaki dan wanita di tengah jalan. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda kepada kaum wanita:
“Hendaklah kamu melambatkan dalam berjalan (supaya berjalan di belakang), kerana kamu tidak berhak untuk memenuhi tengah-tengah jalan. Dan hendaklah kamu berjalan di tepi jalan, sehingga ada seorang wanita yang serta-merta berjalan merapat ke dinding, hingga bajunya tersangkut pada dinding disebabkan terlalu rapat dengan dinding.” (H.R. Abu Daud,)
Bayangkanlah,wanita dizaman Nabi dan para sahabat pun mereka tetap bersembunyi dan mengelakkan diri dari khalayak kaum lelaki. Yang mana pada masa tersebut kita ketahui orang-orang yang teguh beriman amat ramai serta mendominasi pula masyarakat pada ketika itu.
Berbeza dengan zaman ini, lelaki yang tegar beriman semakin kurang. Yang beriman tetapi lemah pun ramai. Lelaki-lelaki fasiq dan suka mengambil kesempatan pula yang banyak berkeliaran. Yang kafir juga tidak kurang ramainya.
Maka, sepatutnya kaum wanita beriman pada hari ini wajib lebih berhati-hati dan perlu memiliki rasa malu yang tinggi dari menjadi tatapan lelaki-lelaki asing di luar. Apatah lagi khabar-khabar fitnah dan jenayah yang mengaitkan wanita dalam masyarakat hari ini begitu banyak sekali.
Semoga kita semua tidak menjadi fitnah di antara satu sama lain sebagaimana dikhabarkan Rasulullah s.a.w dalam sabdanya:
“Aku tidak meninggalkan fitnah sepeninggalanku yang lebih bahaya bagi lelaki melebihi fitnah wanita.” (H.R. Bukhari dan Muslim –Muttafaq ‘alaih)
Saidina ‘Ali r.hu pernah berkata kepada isterinya, (iaitu) Fathimah r.ha: “Wahai Fathimah, apa yang terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab: “Hendaklah dia tidak melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki pun tidak melihatnya.” ‘Ali berkata lagi: “Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki dan dia melihat mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.” (adz-Dzahabi, al-Kaba’ir,m/s.171-172)
Jadilah wanita muslim yang beriman. Wanita beriman itu bukan wanita murahan. Kerana wanita beriman itu amat mahal lagi berharga. Yang harganya tidak ternilai sedikit pun dengan helaian wang ringgit. Melainkan dengan apa yang telah dinilai dan ditetapkan oleh Allah s.w.t bagi diri-diri mereka. Mereka menerima, bersyukur, dan redha dengannya. Ganjaran buat mereka adalah Syurga Allah yang luas terbentang.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seorang wanita telah mendirikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (atau kemaluannya), serta mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, “Masuklah engkau ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu.” (H.R. Ahmad, 3/199, no. 1661. Ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 5/34, no. 4598. 8/339, no. 8805. Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Hibban, 9/471, no. 4163. Hadith hasan lighairihi)
0 143 sahabat komen ♥ :
Post a Comment